PENGHUNI banduan akhir atas kesalahan dadah, Nasir, 36, (bukan nama sebenar) dipeluk dua anak perempuannya semasa dipertemukan sempena Program Jalinan Kasih Sambutan Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Kantin Pegawai, Penjara Reman Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
Zuhainy Zulkiffli


TIADA yang lebih bermakna buat banduan yang menjalani hukuman akhir, apabila pertama kali dapat bersama menyambut ulang tahun kelahiran anak perempuan keduanya berusia sembilan tahun.

Detik berkenaan disambut Nasir (bukan nama sebenar), 36, bersama sembilan lagi ahli keluarga yang mengunjunginya di Program Jalinan Kasih Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Penjara Reman Pulau Pinang, dekat Georgetown, hari ini.

Nasir yang menghuni penjara berkenaan sejak 2010 itu berkata, dia terharu dengan sokongan keluarga termasuk ibunya berusia 68 tahun, yang turut hadir berkerusi roda.

Katanya, dia bersyukur kerana ibu dan adik beradik yang lain menjaga dua anaknya dengan baik selepas berpisah dengan isteri.

“Setahun sekali dapat peluk anak kerana kali terakhir saya berjumpa keluarga ialah pada Aidilfitri lalu dalam program sama.

“Cuma terkilan kali ini ayah tidak dapat bersama selepas meninggal dunia April lalu akibat kencing manis,” katanya yang

berasal dari Jalan Free School, Jelutong, dekat sini.

Nasir adalah antara seorang daripada empat banduan akhir yang diberi peluang bertemu dengan keluarga sempena Aidilfitri selain lima yang menjalani hukuman lama dan satu reman.

Mengulas lanjut, Nasir berkata, kali terakhir dia membuat rayuan bagi meringankan hukumannya ialah pada 2016.

“Namun masih tiada kata putus dan saya akan terus menunggu walaupun tidak pasti sama ada masih punya harapan untuk pulang ke rumah,” katanya yang menjalani hukuman kerana memiliki dadah.

Sementara itu, Pengarah Penjara Reman negeri, Tey Hock Soon berkata, daripada 1,512 penghuni, hanya 10 banduan terbabit diberi peluang bertemu keluarga berdasarkan penampilan baik dan disiplin yang ditunjukkan selain atas persetujuan keluarga masing-masing.

Katanya, program tahunan yang diadakan itu memberi peluang kepada banduan dan keluarga masing-masing menginsafi serta merapatkan semula silaturrahim.

“Program ini mendapat maklum balas yang baik semua pihak dan sekaligus memberi keinsafan kepada banduan berkenaan supaya tidak mengulangi lagi kesalahan lalu.

“Ia juga dapat membuka mata dan mengubah stigma dalam kalangan masyarakat bahawa banduan tidak lagi memberi manfaat selepas dibebaskan sebaliknya di sini, mereka diasah dengan pelbagai aspek termasuk kemahiran dan disiplin,” katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 2:04 PM