BERANG teman lelaki anak saudaranya menuntut hutang, seorang lelaki bertindak di luar dugaan apabila menetak mangsa dengan parang, di Sibu, semalam.

Kejadian 6.25 petang itu berlaku apabila mangsa berusia 31 tahun pergi ke rumah suspek di Jalan Pahlawan, untuk menuntut hutang berjumlah RM30,000, sejak 2017.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa datang untuk berbincang secara baik.

Beliau berkata, sebelum kejadian, mangsa sudah cuba menghubungi suspek tetapi tidak dijawab.

“Apabila mangsa dan teman wanitanya sampai di halaman rumah suspek, lelaki berusia 52 tahun itu naik angin sebelum masuk ke dalam rumah dan mengambil parang lalu menghayunnya ke arah mangsa.

“Mangsa cuba mengelak, namun terkena tangan kirinya menyebabkan luka berdekatan siku dan suspek kemudiannya melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, sejurus kejadian, mangsa mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan swasta dan menerima lima jahitan.

Stanley berkata, suspek kemudianya berjaya ditangkap di sebuah restoran makanan laut dekat Jalan Long Bridge, malam semalam.

“Suspek mengaku mencederakan pengadu dengan menggunakan parang dan kemudian membuang parang itu di Jambatan Lanang sejurus kejadian.

“Dia akan direman hari ini dan proses siasatan seterusnya akan dijalankan sejurus reman diperoleh. Suspek turut akan dirujuk kepada bahagian narkotik untuk saringan air kencing,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 2:34 PM