FOTO Hiasan
Hadzlihady Hassan


SEORANG lelaki yang juga tukang urut bukan sahaja mahir mengurut, malah mahir mengambil kesempatan apabila mencabul pelajar perempuan tingkatan satu yang datang mengurut kerana terseliuh kaki di Jalan Permatang Janggus, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, kelmarin.

Malah, perbuatan lelaki itu keterlaluan apabila mencabul mangsa ketika sedang mengurut bapa pelajar terbabit yang ketika itu sedang meniarap.

Dalam kejadian jam 6.20 petang, mangsa berusia 13 tahun dibawa bapanya ke rumah tukang urut terbabit kerana kaki kanannya terseliuh.

Menurut sumber, selepas mengurut kaki pelajar, lelaki terbabit mengurut pula bapa mangsa.

“Mangsa ketika itu berada berhampiran dan ketika sedang mengurut bapa mangsa, tukang urut terbabit memasukkan tangannya ke dalam seluar pelajar berkenaan.

“Mangsa hanya mampu menangis dan tukang urut pula menunjukkan isyarat supaya tidak memberitahu perbuatan itu kepada sesiapa,” katanya.

Sumber berkata, perbuatan terkutuk lelaki itu hanya diketahui selepas mangsa pulang dan menceritakan kejadian menimpa kepada neneknya lalu membuat laporan polis.

“Susulan itu, polis menahan suspek yang berusia 50-an.

“Ketika siasatan awal, lelaki terbabit mengaku melakukan perbuatan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid mengesahkan laporan dan penahanan suspek.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 2:38 PM