Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


GANJA, heroin, ketamin, pil ekstasi dan pil eramin. Itu antara jenis dadah yang berjaya dirampas Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPSPU) dalam tiga serbuan berasingan di Mak Mandin dan Butterworth, Pulau Pinang.

Dalam serbuan antara jam 3.30 petang semalam sehingga awal pagi tadi, polis menahan empat lelaki berusia 22 hingga 36 tahun dan merampas sejumlah dadah bernilai hampir RM200,000.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam serbuan semalam, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di dalam keretanya di Jalan Raja Uda.

Katanya, hasil pemeriksaan polis menemui ketamin seberat 740 gram (g) yang dicampur di dalam beberapa paket minuman berperisa limau yang kemudian dimuatkan ke dalam sebuah beg kertas.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam beg kertas itu, polis menemui 370 pil ekstasi seberat 141.7g dan 280 pil eramin 5 dengan anggaran berat 84g.

“Kita percaya suspek mengedarkan semua dadah ini di premis hiburan di daerah ini dan kesemua bahan terlarang itu boleh digunakan seramai 4,250 penagih,” katanya pada sidang media di IPDSPU, hari ini.

Menurutnya, suspek yang positif dadah itu juga direman selama tujuh hari sehingga 26 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam serbuan kedua jam 3 pagi tadi, polis menyerbu sebuah rumah di Lengkok Mak Mandin sebelum menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun bersama sejumlah dadah jenis heroin.

“Kesemua dadah dianggarkan seberat 452g itu ditemui didalam plastik hitam bersama suspek dan kesemuanya bernilai RM22,600,” katanya.

Menurutnya, suspek juga positif dadah dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya 1952.

Dalam serbuan ketiga sejam selepas serbuan kedua, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 24 tahun di Rumah Hijau Mak Mandin sebelum menemui 459.5g ganja serta 35g heroin di dalam sebuah beg plastik bersama suspek.

“Katanya kesemua ganja itu dipercayai digunakan bagi dijual kepada penagih dan mereka sudah beberapa bulan beroperasi menjual dadah berkenaan.

“Suspek yang positif dadah itu juga dipercayai ahli sindiket dan ditahan reman tujuh hari bagi tujuan siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 5:35 PM
KETUA Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis pil ekstasi dan Eramin 5 pada sidang media, hari ini. FOTO Mikail Ong