SUBOH. FOTO NSTP
Murni Wan Omar

“SAYA rasa takut dengan apa yang sedang berlaku kerana Datuk Seri Najib Razak) masih berkuasa menjadi Perdana Menteri pada masa itu,” kata bekas Pengarah SRC, Datuk Suboh Md Yassin ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, pada 2015, beliau ada menghubungi pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat temujanji bagi menjelaskan berhubung SRC yang ketika itu sedang disiasat.

“Sebelum pergi, saya menerima panggilan daripada seorang yang tidak dikenali supaya tidak pergi ke pejabat SPRM seperti yang dijanjikan dan mengarahkan saya meninggalkan Malaysia.

“Saya rasa takut dan tidak tahu apa yang mungkin berlaku kepada saya dan keluarga. Saya membuat keputusan untuk melarikan diri ke Bangkok, Thailand bersama isteri dan tinggal di sana selama lebih kurang sebulan. Segala kos di sana saya tanggung sendiri,” katanya ketika membaca kenyataAn saksinya di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Saksi ke 42 itu berkata ketika di Bangkok, dia bertemu dengan seorang lelaki Thailand yang menyerahkan tiket penerbangan untuk beliau dan isteri untuk ke Abu Dhabi,

“Di Abu Dhabi, ada orang Arab menunggu saya di lapangan terbang dan saya di bawa ke Hotel Rosewood dan tinggal di sana selama lebih kurang seminggu. Segala kos tiket penerbangan dan penginapan sudah diatur untuk saya tetapi saya tidak tahu siapa yang menanggung kos itu.

“Saya kemudian menaiki penerbangan kembali ke Bangkok dan seterusnya pulang ke Malaysia. Selepas kembali, saya dihubungi Nik Faisal Ariff Kamil yang mengarahkan saya untuk melarikan diri daripada Malaysia untuk mengelakkan diri daripada siasatan pihak berkuasa,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff.

Namun, Suboh mendakwa beliau enggan melarikan diri lagi dan kekal di Malaysia untuk membantu siasatan.

Suboh, 68, memberi keterangan dalam perbicaraan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi Najib.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 5:51 PM