ANTARA pesawat Malindo Air. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my


SERAMAI 122 penumpang dan anak kapal Malindo Air terselamat apabila pesawat dalam perjalanan ke Kuala Lumpur itu tergelincir dari landasan ketika berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Husein Sastranegara, Bandung, Indonesia, hari ini.

Syarikat penerbangan Malindo Air yang mengesahkan insiden itu melalui satu kenyataannya hari ini, memaklumkan seramai 114 penumpang dan lapan anak kapal berjaya dikeluarkan dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pesawat OD301, Boeing 737-800 dengan nombor pendaftaran 9M-LCK tergelincir sebelum berlepas pada jam 3.25 petang tadi (waktu Malaysia) dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

”Malindo Air ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan ingin mengulangi pendirian keselamatan penumpang adalah keutamaan kami," kata kenyataan itu.

Malindo Air turut memaklumkan yang syarikat penerbangan itu memandang serius kejadian berkenaan dan akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

#kw Malindo Air, tergelincir

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 6:15 PM