BOMBA melakukan pencarian mangsa. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


“SAYA terkilan sebab tak dapat selamatkan adik dan hanya sempat melihat dia tenggelam timbul dua kali sebelum hilang di dalam lombong pasir ini,” kata Ridzuan Abd Razak, 37.

Ridzuan adalah abang kepada Mohd Fitri Abd Razak, 25, yang dikhuatiri lemas ketika memukat ikan di lombong pasir di Derang, Pokok Sena di Alor Setar, hari ini.

Mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak itu memukat bersama abangnya dan seorang lagi kenalan mereka pada 2 petang.

Menurut Ridzuan, kejadian berlaku kira-kira 30 minit sebaik mereka tiba di kawasan itu.

“Saya cuba nak terjun selamatkan dia tapi tak berani sebab kawasan lombong luas dan air banyak.

“Saya hanya dengar dia jerit tolong... tolong.. dua kali sebelum dia hilang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Ridzuan berkata, mereka sekeluarga berharap adiknya ditemui dengan selamat.

Operasi pencarian mangsa dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena.

Ketua BBP Pokok Sena, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Halim Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.49 petang.

Beliau berkata, tujuh anggota tiba di lokasi jam 3.15 petang bersama dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Beliau berkata, setakat ini radius pencarian mangsa dilakukan pada jarak kira-kira 50 meter dari tempat mangsa terjatuh.

“Kedalaman lombong ini sekitar lebih tiga meter dan operasi mencari akan diteruskan dengan bantuan lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra.

“Operasi mencari mangsa di permukaan masih dilakukan setakat ini dan turut dibantu empat anggota polis dari Balai Polis Pokok Sena,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 6:47 PM