GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


HOBI dan minat seorang pengubah suai rumah menyimpan pelbagai koleksi pistol angin memakan dirinya sendiri apabila ditahan polis di Georgetown, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, polis menahan lelaki berusia 37 tahun itu ketika suspek sedang menunggang motosikal melalui Jalan Tun Dr Awang di Georgetown, kira-kira 5 petang semalam kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Polis kemudian melakukan pemeriksaan ke atas badan suspek dan menemui beg galas miliknya yang didalamnya mengandungi ‘ball bearing’ (galas bebola) pistol angin.

“Susulan itu, suspek diarah membawa polis ke tempat tinggalnya di Lorong Mahsuri, Bayan Baru dan menunjukkan pelbagai jenis koleksi pistol angin milik lelaki itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anbalagan berkata, siasatan terhadap suspek mendapati dia menyimpan barangan berkenaan sebagai koleksi peribadi kerana minat dan hobi.

“Suspek memberitahu dia membeli koleksi barangan berkenaan di sebuah laman web.

“Suspek juga pernah ditahan sebelum ini dan mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan sama,” katanya.

Anbalagan berkata, kesemua barang kes yang dijumpai dirampas untuk siasatan lanjut dan suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 7:03 PM