SABAR Bee hilang selera makan dan sukar tidur selepas mengalami sakit sendi di tengkuk, tulang belakang serta kedua-dua lutut sejak Disember tahun lalu. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


JIKA dahulu dia sangat terkenal dengan panggilan ‘Mak Jogging’ dalam kalangan jiran dan rakan, kini hanya mampu terlantar di rumah berikutan menghidap penyakit misteri.

Itu keperitan terpaksa ditanggung Sabar Bee Sathuli, 53, atau lebih dikenali sebagai Zarina yang satu ketika dulu sangat aktif bersukan terutama dalam acara lari jarak 800 meter (m), 1,500m, dan 4X400m.

Dia yang mula aktif mewakili pelbagai persatuan serta kelab di Pulau Pinang dalam olahraga itu kini mengalami sakit sendi di tengkuk, tulang belakang serta kedua-dua lutut.

Menurut Sabar Bee, penyakit misterinya itu mula dihidapi sejak Disember 2018 lalu hingga membuatkan dia sukar makan dan minum, selain hanya mampu terbaring.

“Jika makan atau minum, saya akan muntah dan hasil pemeriksaan di hospital doktor hanya memberitahu badan tidak cukup gula dan garam serta tidak mempunyai tenaga.

“Kesakitan itu akan mula terasa ketika malam hingga membuatkan saya sukar melelapkan mata,” katanya yang ditemui di rumah kakaknya di Persiaran Paya Terubong Tiga, Georgetown, hari ini.

Sabar Bee yang masih bujang berkata, akibat keadaan itu, berat badannya susut daripada 120kilogram (kg) hingga ke 60kg kerana tidak mempunyai selera makan.

“Saya aktif berlari sejak berusia 15 tahun dan boleh dikatakan hampir setiap hari akan keluar berjogging walaupun dimarahi arwah ibu.

“Namun, saya mula berhenti aktif dalam sukan sejak 2009 selain turut berhenti kerja sebagai operator di sebuah kilang pada tahun sama kerana mahu menjaga ibu yang sakit,” katanya.

Menurutnya, ibunya meninggal dunia empat tahun selepas itu kerana sakit tua dan sejak itu, dia hanya menumpang di rumah adik beradik lain.

Ketika aktif bersukan, Sabar Bee pernah mendapat tunjuk ajar dan didikan daripada PLBS Peyadesa yang juga pernah mewakili negara dalam Sukan Olimpik di Munich pada 1972.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 7:10 PM