ANGGOTA APM menyelamatkan lembu betina yang terjatuh ke dalam telaga di Kampung Lahar, Jeniang. FOTO IHSAN APM
Safuri Kamarudin


“MUJUR saya ternampak seekor lembu saya terjatuh dalam telaga lama dan cuba menaikkan semula tetapi tidak terdaya kerana terlalu dalam,” kata Suhaimi Ayob, 52, dari Kampung Lahar, Jeniang, apabila seekor lembu betina peliharaannya terjatuh ke dalam telaga sedalam kira-kira enam meter berdekatan rumahnya di Sik, hari ini.

Menurutnya, enam ekor lembunya memakan rumput di kawasan itu setiap petang dan tergamam apabila seekor daripadanya terpijak atap zink reput yang menutupi lubang telaga dan terjatuh.

“Saya terus berlari untuk membantu tetapi tidak terdaya kerana telaga itu sangat dalam.

“Saya juga terkejut apabila mendapati terdapat dua biawak berada di dalam telaga,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Hanapiah berkata, anggotanya mengambil masa 40 minit membawa naik lembu yang terjatuh ke dalam telaga itu.

“Anggota terpaksa menangkap dua ekor biawak terlebih dahulu sebelum menyelamatkan lembu berkenaan.

“Ini kes pertama menyelamat lembu terjatuh di dalam telaga dan pada masa sama menangkap biawak hampir 10 kilogram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 7:23 PM