SEBAHAGIAN 84 kilogram daun ketum yang dirampas polis dan empat lelaki ditahan (gambar kanan) dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Nilam, Langkawi. FOTO Ihsan PDRM
Hamzah Osman


KEGIATAN empat rakan memiliki dan memproses daun ketum terbongkar selepas mereka ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Nilam, Langkawi, semalam.

Dalam serbuan 12.30 tengahari itu, sepasukan anggota polis menahan empat suspek dan merampas 84 kilogram daun ketum yang disembunyikan di dalam dua bilik di rumah terbabit.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat awam berkaitan kegiatan suspek berusia antara 25 hingga 37 tahun di kawasan berkenaan.

“Ketika serbuan, semua suspek berada dalam keadaan mencurigakan, namun pemeriksaan fizikal tidak menemui barang salah.

“Bagaimanapun, pemeriksaan di dalam dua bilik menemui longgokan daun ketum di atas lantai yang dibungkus dalam plastik lutsinar dipercayai untuk dijual,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, semakan rekod jenayah lampau juga mendapati semua suspek pernah ditahan berkaitan kes dadah.

“Polis turut merampas alat penimbang dipercayai digunakan suspek untuk urusan jual beli daun ketum.

“Semua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 7:28 PM