SEBAHAGIAN wanita warga asing disyaki terbabit dengan aktiviti pelacuran hasil serbuan di tiga rumah urut di Setia Alam, semalam. FOTO ihsan Jabatan Imigresen.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 25 individu termasuk wanita warga asing disyaki terbabit dengan aktiviti pelacuran hasil serbuan di tiga rumah urut di Setia Alam, Selangor, bermula 18 Jun hingga hari ini.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, semua suspek terbabit ditangkap menerusi operasi penguatkuasaan dilaksanakan 24 pegawai JIM dari Unit Operasi Khas (UOK), Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa.

Beliau berkata, hasil risikan dilakukan mendapati tiga premis terbabit didapati menawarkan perkhidmatan seks dan berselindung di sebalik perniagaan pusat urutan dan refleksologi.

“Sewaktu serbuan terdapat cubaan melarikan diri oleh wanita warga asing bersama penyelia premis melalui pintu belakang dan cubaan melompat dari tingkap di tingkat satu, tetapi pergerakan terbabit berjaya disekat anggota serbuan yang sudah mengepung kawasan terbabit.

“Terdapat premis mengubahsuai pintu masuk kepada bilik urut dengan papan dan hiasan seperti bunga-bunga dinding dengan tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, kami menahan 20 wanita warga asing membabitkan sembilan warga Indonesia, Thailand (6), Vietnam (3), Laos (1) dan Kemboja (1), selain lima lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengurus, kapten dan penyelia premis terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Khairul berkata, soal siasat mendapati premis terbabit menawarkan perkhidmatan seks bermula dari harga RM170 hingga RM200 bagi tempoh 45 minit mengikut pakej ditawarkan seperti urutan badan ke badan (B2B) dan pakej seks penuh.

Beliau berkata, mereka menggunakan aplikasi WeChat untuk memudahkan pelanggan membuat pemilihan dan tempahan awal secara atas talian untuk memilih wanita ingin dilanggan.

“Pemeriksaan mendapati premis terbabit menyalahgunakan lesen perniagaan sedia ada dan terdapat premis langsung tidak mempunyai lesen perniagaan.

“Hasil pemeriksaan terhadap wanita warga asing terbabit didapati mereka melakukan kesalahan seperti tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan,” katanya.

Beliau berkata, semua tahanan terbabit ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 7:33 PM