KEADAAN kereta dinaiki suspek. FOTO Ihsan PDRM
Nor Farhani Che Ad


DUA lelaki yang melarikan diri selepas kereta dinaiki mereka melanggar dua pelajar sekolah di Kampung Bukit Karangan, Jalan Sungai Karangan-Kuala Ketil, semalam, ditangkap hari ini.

Suspek berusia 21 dan 27 tahun itu ditahan di lokasi berasingan iaitu di Kuala Ketil dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek melarikan diri daripada pemeriksaan anggota kereta peronda polis (MPV).

“Pada 2.30 petang semalam, anggota MPV mendapati kereta Honda Civic yang dinaiki suspek yang ketika itu berada di Pekan Padang Serai dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila anggota keluar dari MPV untuk buat pemeriksaan, tiba-tiba kereta suspek mengundur lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kereta MPV terbabit sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Safuan berkata, kereta berwarna perak itu menuju ke arah Sungai Karangan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.

Katanya, kenderaan suspek turut melanggar sebuah motosikal Honda EX5 dari arah sama dinaiki oleh dua pelajar lelaki berusia 14 dan 16 tahun.

“Selepas berlaku perlanggaran, kedua-dua suspek lari keluar dari kenderaan itu lalu masuk ke dalam belukar kebun sawit.

“Kemalangan mengakibatkan salah seorang mangsa retak kaki kanan, manakala seorang lagi mangsa bengkak di badan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau mengikut 431A Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan kesalahan dadah.

Katanya, pemeriksaan mendapati cukai jalan kereta terbabit juga tamat tempoh dan enjin kenderaan sudah ditukar.

Safuan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 353/338 Kanun Keseksaan serta tindakan saman trafik juga akan dikenakan terhadap pemandu serta pemilik kenderaan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 8:45 PM