Anwar menemui Dr Mahathir di Putrajaya hari ini. FOTO Ihsan Facebook Anwar Ibrahim
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi tumpuan kepada program pembangunan negara.

Beliau menyatakan persetujuan itu dalam satu pertemuan singkat bersama Dr Mahathir di Putrajaya sebelum Perdana Menteri berlepas ke Bangkok, Thailand.

“Dalam pertemuan itu saya menyatakan persetujuan terhadap pendirian beliau untuk memberi tumpuan kepada program pembangunan negara dan tidak memerlukan pertukaran Timbalan Perdana Menteri dan Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri yang baru saja pulang dari lawatan kerja di United Kingdom berangkat ke Bangkok bagi menghadiri Persidangan ASEAN ke-34, selama empat hari.

Anwar berkata, dalam pertemuan itu juga beliau dan Dr Mahathir membincangkan isu video intim yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kami berdua turut membincangkan isu video lucah yang mana saya mengulangi pendirian bahawa PKR menolak budaya politik jijik dan keji serta turut melahirkan rasa simpati terhadap Azmin dan keluarganya.

“Membincangkan lebih lanjut, saya menegaskan wujudnya unsur politik terkait isu ini, maka adalah tidak wajar untuk memfitnah sesiapa yang menyebarkannya tanpa asas.

“Selain itu, kami berdua turut menyentuh beberapa isu semasa yang lain dalam pertemuan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 9:39 PM