PENUNGGANG motosikal maut dalam kemalangan di Kilometer 21.2 Batu Satu, Jalan Sungai Petani - Baling, Kuala Ketil, petang tadi. FOTO Ihsan pembaca
Safuri Kamarudin


PENUNGGANG motosikal maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 21.2, Batu Satu, Jalan Sungai Petani - Baling, Kedah petang tadi.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari, mangsa Muhamad Rafi Abdul Majid, 28, berasal dari Kampung Luar, Mukim Siong, Baling meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, mangsa yang menunggang motosikal Kriss 100 dari arah Sungai Petani ke Baling dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Ekor Padang, Kuala Ketil.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah lori keluar dari simpang menuju ke jalan besar menghala ke Baling.

“Motosikal yang ditunggang mangsa cuba mengelak namun terlanggar sebelah kiri belakang lori terbabit.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di pinggang serta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, pemandu lori terbabit melarikan diri sejurus selepas kemalangan itu.

“Polis membawa balik lori berkenaan ke Ibu Pejabat Daerah Baling untuk pemeriksaan Puspakom. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 9:42 PM