ANWAR. FOTO Arkib NSTP
Hairulazim Mahmud


PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pertukaran Timbalan Perdana Menteri dan rombakan Kabinet tidak diperlukan buat masa ini.

Melalui perkongsian di laman Facebook peribadinya, beliau memaklumkan mengadakan pertemuan singkat dengan Perdana Menteri di Putrajaya sebelum pemimpin nombor satu negara itu berlepas ke Bangkok, hari ini.

“Dalam pertemuan itu saya menyatakan persetujuan terhadap pendirian beliau untuk memberi tumpuan kepada program pembangunan negara dan tidak memerlukan pertukaran Timbalan Perdana Menteri dan Kabinet,” katanya melalui status terkini akaun Facebook peribadinya hari ini.

Anwar berkata, mereka turut berbincang isu video lucah songsang yang menjadi kontroversi ketika ini.

Beliau juga mengulangi pendirian PKR bahawa parti itu menolak budaya politik jijik dan keji.

“Saya turut melahirkan rasa simpati terhadap (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali dan keluarganya.

“Saya turut menegaskan wujudnya unsur politik terkait isu ini, maka adalah tidak wajar untuk memfitnah sesiapa yang menyebarkannya tanpa asas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 9:55 PM