Keadaan rumah warga emas yang rosak dalam kejadian ribut. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


SUAMI isteri warga emas terselamat selepas sempat menyelamatkan diri ketika rumah mereka di Kampung Rambai Padang, Bukit Raya, Pendang dilanda ribut hari ini.

Dalam kejadian 8.45 pagi tadi, Siah Mohd Saman, 70-an yang mengalami masalah kesihatan berjalan perlahan ke pintu hadapan rumah untuk menyelamatkan diri sebelum menantunya, Abdul Hamid Abdullah, 59, yang tinggal bersebelahan rumah menyelamatkannya.

Ketika itu suaminya, Md Noh Puteh, 70-an berlindung di bahagian tengah rumah berkenaan.

Menurut anaknya, Shahirah Md Noh, 51, kejadian berlaku terlalu pantas ketika hujan lebat dan angin kencang.

Katanya, dia hanya menyedari ribut berlaku selepas serpihan papan kayu dan bumbung zink melayang ke rumahnya menyebabkan suami pergi menyelamatkan ibu bapanya itu.

“Mujur mereka selamat dalam kejadian itu dan tidak mengalami kecederaan.

“Biasanya emak datang ke rumah saya jika nampak cuaca mendung kerana bimbang kejadian seperti ini berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Muhd Fairus Rusdi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian ribut membabitkan dua rumah di Kampung Rambai Padang, Bukit Raya pagi tadi.

Katanya, kejadian berlaku 8.30 pagi berikutan angin kencang dan ribut yang melanda kawasan itu.

Selain itu katanya, anggotanya turut menerima laporan berhubung pokok tumbang yang menghempap sebuah rumah penduduk di Kampung Banggol Besi, Mukim Guar Kepayang, pada 12.18 tengah hari tadi.

Beliau berkata, tiga anggotanya tiba di lokasi pada 1.21 tengah hari untuk membantu membersihkan kawasan rumah berkenaan termasuk memotong dahan pokok sehingga selesai.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian ribut hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 10:45 PM