PERKAMPUNGAN Orang Asli Suku Batek, di Kampung Kuala Koh. FOTO Fathil Asri.
Muhamaad Razis Ismail


KOTA BHARU: Mayat 15 penduduk masyarakat Orang Asli suku Batek yang meninggal dunia akibat demam campak akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Koh, Gua Musang dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Agama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Murtadha Abdullah berkata, hasil perbincangan dijalankan keluarga mangsa bersetuju semua mayat dikebumikan dalam satu liang lahad.

Katanya, berdasarkan mesyuarat diadakan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kelmarin, mayat semua mangsa kini berada di peringkat terakhir proses bedah siasat.

“Hasil perbincangan dengan penduduk Orang Asli mendapati semua 15 mangsa yang meninggal dunia adalah beragama Islam.

“Kami sudah melakukan persiapan dan menyediakan kelengkapan untuk proses pengebumian. MAIK juga menyediakan kos pengebumian yang akan diuruskan imam masjid Gua Musang bersama kakitangannya.

“Setakat ini, kami masih menunggu makluman daripada pihak hospital sebelum urusan pengebumian dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 6:30 AM