HANIF (gambar kecil) meninggal dunia ketika ingin mengambil wuduk di Masjid Al-Mutaqqin, Taman Selasih. FOTO ihsan pembaca
Nor Farhani Che Ad


EJEN hartanah meninggal dunia ketika ingin mengambil wuduk di Masjid Al-Mutaqqin, Taman Selasih, Kulim, semalam.

Dalam kejadian 9 malam, Hanif Othman, 54, baru keluar dari tandas untuk mengambil wuduk bagi menunaikan solat Isyak.

Saksi Che Ani Harun, 66, berkata ketika keluar dari tandas arwah sempat menyangkut serban dan kopiah dipakainya sebelum bersandar pada dinding di depan kolah.

“Ketika itu azan Isyak sedang dilaungkan, saya nampak arwah bersandar pada dinding, saya ingatkan arwah nak tunggu sampai azan habis.

“Ketika saya sedang mengambil wuduk, saya nampak arwah tiba-tiba mendongak ke atas seolah-olah ‘tarik’ (sawan) sebelum jatuh terduduk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Che Ani berkata, dia meminta bantuan jemaah lain untuk membantu dan mengajar Hanif mengucap apabila melihat keadaannya semakin lemah.

“Kami sempat ajar arwah mengucap dan dapat melihat bibirnya menyebut kalimah itu sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Kulim yang tiba,” katanya.

Katanya, Hanif sering solat berjemaah di masjid itu biarpun tinggal di Taman Cengal Indah, kira-kira satu kilometer dari masjid.

Sementara itu, anak sulung arwah, Hanisah, 24, berkata bapanya kelihatan kurang sihat sejak kebelakangan ini berikutan penyakit jantung dihidapinya lebih setahun lalu.

Katanya, bagaimanapun bapanya tetap keluar untuk menunaikan solat di masjid.

Hanisah berkata, arwah sememangnya kuat beribadat selain suka bersedekah dan sering menasihati mereka adik-beradik sentiasa berpegang teguh pada agama.

“Ahad lalu, papa tinggalkan pesanan dalam kumpulan WhatsApp keluarga kami menasihatkan adik-beradik supaya bangun awal sebelum subuh dan mendoakannya.

“Kami tidak sangka ia petanda papa akan meninggalkan kami selama-lamanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 12:54 PM