Sarah Zulkifli


PELAKON dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari mengakui penahanannya di penjara selama 35 hari adalah satu rahmat Allah yang memberikannya satu jalan lurus.

Farid, 38, yang kelihatan ceria dan tidak putus dengan senyuman itu berkata, pengalamannya ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang sukar digambarkan dengan perasaan.

“Alhamdulillah... semuanya berjalan dengan lancar dan apa yang ditentukan Allah, pastinya akan berlaku.

“Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih dengan doa daripada orang ramai untuk diri saya,” katanya ketika ditemui media selepas tamat prosiding di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, membabitkan dirinya atas empat tuduhan termasuk menampar orang awam.

Terdahulu, Majistret Nor Ariffin Hisham memerintahkan Farid membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan selama dua hari bermula 16 Julai ini bagi prosiding sambung bicara membela diri dan Farid memilih memberi keterangan secara bersumpah di dalam kandang saksi.

Pelakon utama Lagenda Budak Setan itu ketika disoal mengenai perasaan bertemu kedua-dua anaknya kelmarin, Muhammad dan Nur Aurora, Farid tersenyum dan berkata, ‘keadaan anak-anak saya comel seperti biasa.’

Sementara itu, ketika ditanya berhubung perancangannya selepas ini, Farid berkata, penggambaran filem Rempit 2 akan dimulakan.

Sebelum beredar dari lobi mahkamah, Farid sempat mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada semua peminatnya.

Pada 15 Mei lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya memerintahkan Farid dipenjara sembilan bulan selepas dia memilih untuk berdiam diri pada prosiding pembelaan bagi kes menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC).

Mahkamah turut memerintahkan Farid berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun selain menolak penangguhan pelaksanaan hukuman.

Selepas menjalani hukuman penjara selama 35 hari di Penjara Kajang, pada Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkannya menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sembilan bulan sehingga rayuan terhadap keputusan hukumannya diputuskan.

Farid dibenarkan bebas dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta pasport serahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.

Berita berkaitan

Farid Kamil diperintah bela diri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 2:47 PM