LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Siraj Mohd Zaini


TEMPOH reman pelajar Tingkatan Lima yang menikam guru kaunselingnya dalam kejadian di sekolah menengah di Sungai Manggis, Ahad lalu, disambung empat hari lagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, tempoh reman itu bermula hari ini sehingga Isnin depan.

“Polis juga masih menunggu laporan psikiatri dan perubatan dari Hospital Banting dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

“Berhubung keadaan mangsa, dia sudah keluar dari hospital semalam selepas keadaannya menunjukkan perkembangan positif,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Terdahulu, remaja berusia 17 tahun itu ditahan di sekolah terbabit selepas kejadian yang berlaku di bilik pembantu warden sekolah berkenaan kira-kira jam 8.20 malam.

Mangsa, Muhammad Hasnan Salim,33, dilaporkan ditikam beberapa kali di bahagian bahu.

Pelajar itu kemudian direman selama lima hari sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Siasatan awal polis mendapati, motif kejadian adalah dendam berikutan guru berkenaan dikatakan menetapkan peraturan yang terlalu ketat di sekolah dan asrama.

Berita berkaitan

Henti sebar butiran pelajar tikam guru

Pelajar tikam guru kaunseling

Tertekan peraturan sekolah ketat sangat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 3:07 PM