WANG tunai dilarikan suspek ditemui semula. Perbuatan suspek yang dirakam CCTV (gambar kanan). FOTO ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini


LELAKI berusia 20 tahun diberkas polis selepas memecah dan melarikan sejumlah wang dalam tabung Masjid Dato Sheikh Adnan, Penaga, Kepala Batas, kelmarin.

Kejadian 11 pagi itu hanya disedari pengurusan masjid selepas mendapati semua wang dalam tabung lut sinar di laluan masuk ke masjid hilang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bagaimanapun tindakan lelaki terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid.

Katanya, rakaman CCTV itu menunjukkan lelaki terbabit mengumpil tiga tabung yang bercantum di situ sebelum melarikan semua wang di dalamnya.

“Kejadian berlaku jam 11 pagi 19 Jun lalu sebelum satu laporan polis dibuat pengurusan masjid.

“Hasilnya, polis berjaya mengesan suspek sebelum memberkasnya 5 petang semalam, “katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan menemui wang tunai berjumlah RM292, peralatan dan pakaian yang digunakan suspek untuk memecah tabung masjid.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 3:38 PM