GAMBAR fail menunjukkan pasukan keselamatan membantu murid terjejas di Sekolah Agama Taman Mawar Pasir Gudang. FOTO Arkib NSTP
Mary Victoria Dass


PENDUDUK mendakwa terhidu bau seperti gas petroleum cecair (LPG) sebelum 15 orang termasuk 13 murid mengalami simptom sesak nafas dan muntah di Sekolah Agama Taman Mawar, di Pasir Gudang, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata, bau itu dikatakan disedari pihak sekolah sejak empat hari lalu.

“Bertindak atas kejadian semalam, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) membuat pemeriksaan di kawasan sekitar, bagaimanapun sejak semalam hingga hari ini, pasukan berkenaan mengesahkan tidak mengesan sebarang bau di tempat kejadian.

“Pada masa sama, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan agensi kerajaan lain turut membantu HAZMAT memantau kualiti udara di empat lokasi di kawasan terjejas setiap empat jam.

“Pemantauan dalam radius dua kilometer dari sekolah dilakukan bermula malam tadi dan satu jawatankuasa saintifik diaktifkan bagi menjalankan siasatan serta mengenal pasti punca kejadian,” katanya dalam kenyataan media.

Dalam kejadian petang semalam, seramai 15 mangsa terdiri daripada murid Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 dan Sekolah Agama Taman Mawar dan dua kakitangan sekolah itu mengalami simptom sesak nafas serta muntah, dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan.

Enam daripada mereka, murid perempuan berusia sembilan hingga 10 tahun ditahan di wad biasa untuk menjalani rawatan lanjut dan dibenarkan pulang ke rumah, hari ini.

Kedudukan kedua-dua sekolah itu hanya kira-kira 450 meter antara satu sama lain dan ia terletak hampir sembilan kilometer dari Sungai Kim-kim, kawasan berlaku pencemaran toksik pada 7 Mac lalu hingga menyebabkan 2,775 orang awam menerima rawatan dan sembilan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Dalam kejadian itu, kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga kesemua 111 sekolah di seluruh Pasir Gudang diarahkan ditutup sementara.

Selain sekolah, 92 tadika dan taska serta institut pengajian tinggi awam (IPTA) ditutup bagi mengelak lebih ramai mangsa terjejas dan kerja pembersihan membabitkan sebanyak 900 tan tanah tercemar bersama selut dan 1,500 tan air tercemar daripada dasar sungai dikumpul sebelum dilupuskan kontraktor dilantik kerajaan.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 3:46 PM