SEBAHAGIAN rokok tidak bercukai berjaya dirampas menerusi Op Landai terhadap bot penumpang Labuan- Menumbok di Labuan. FOTO IHSAN PPM.
Fardy Bungga


PASUKAN Polis Marin (PPM) Labuan berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup rokok tidak bercukai di dua lokasi berasingan, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam operasi Op Landai, rampasan pertama dilakukan jam 10.45 pagi membabitkan bot penumpang di sekitar Terminal Feri Antarabangsa Wilayah Persekutuan Labuan.

Katanya, pemeriksaan terhadap bot dalam perjalanan dari Labuan ke Menumbok didapati membawa satu bungkusan plastik hitam mengandungi 15 karton rokok disembunyikan di bawah bot.

“Manakala rampasan kedua dilakukan pada jam 1 petang membabitkan sebuah lagi bot penumpang Labuan-Menumbok.

“Dalam pemeriksaan ini, PPM merampas 15 karton rokok disembunyikan di ruang simpanan petrol,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang tangkapan dilakukan kerana tiada individu mengaku memiliki barangan berkenaan.

Katanya, semua rokok ini cuba diseludup keluar dari Labuan tanpa menjelaskan cukai kastam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

“Nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai dianggarkan bernilai RM7,500 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Semua rokok dirampas kemudiannya dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Labuan dan akan dirujuk ke Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan tindakan selanjutnya,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya akan terus meningkatkan operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang.

Katanya, kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat sangat diperlukan untuk tindakan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 4:49 PM