Mujahid (dua kiri) diiringi Syed Saleh (kiri) bermesra dengan bakal jemaah haji, Muda @ A Ghani Salleh, 76, yang berkerusi roda. FOTO Rozainah Zakaria
Baharom Bakar


TABUNG Haji (TH) masih berkemampuan memberi subsidi kepada bakal jemaah haji jika kerajaan Arab Saudi bersetuju dengan permintaan kerajaan untuk menambah kouta haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, jumlah keseluruhan subsidi dikeluarkan TH kepada 30,200 bakal jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan haji tahun ini adalah RM400 juta.

Katanya, jika kerajaan Arab Saudi bersetuju memenuhi permintaan kerajaan untuk penambahan kouta haji berjumlah 10,000 bakal jemaah, jumlah subsidi akan dikeluarkan TH adalah RM129.2 juta

“Walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan kepada kerajaan Pakatan Harapan termasuk mendakwa TH mengalami kerugian, tetapi kita masih mampu mengeluarkan subsidi jika berlaku penambahan kouta.

“Kerajaan dijangka menerima keputusan mengenai permohonan tambahan kouta daripada Arab Saudi selewat-lewatnya bulan depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kursus Perdana Haji peringkat negeri di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Kanan (Haji), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Seramai 2,091 bakal jemaah haji dari Terengganu terpilih untuk menunaikan haji tahun ini menyertai kursus yang diadakan selama dua hari satu malam mulai hari ini di TTI.

Mujahid berkata, TH sudah pun mengedarkan surat tawaran kepada 30,200 jemaah yang terpilih untuk mengerjakan ibadah berkenaan pada tahun ini.

Katanya, 62 penerbangan untuk membawa bakal jemaah haji disediakan tahun ini.

“TH menggunakan dua syarikat penerbangan dari Arab Saudi dan MAS untuk membawa bakal jemaah haji melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah atau Madinah tahun ini.

“Penerbangan pertama membawa bakal jemaah haji untuk menunaikan ibadah tahun ini pada 4 Julai ini, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 1:05 AM