ANGGOTA APM Baling mendapat rawatan di Hospital Baling selepas terlanggar babi hutan di Jalan Baling - Weng. FOTO ihsan APM
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling cedera di muka selepas terlanggar babi hutan di Jalan Baling-Weng berdekatan Kampung Batu Lapan, Mukim Siong, malam tadi.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, mangsa berusia 50-an dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai bertugas .

Pegawai APM Baling Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, anggota berkenaan selesai bertugas malam dan bertolak pulang ke rumah di Kampung Batu Lapan.

Beliau berkata, ketika sampai di satu simpang, tiba-tiba seekor babi hutan melintas jalan dan merempuh motosikalnya.

“Akibat rempuhan itu motosikal terbalik dan mangsa terhumban di jalan raya.

“Mangsa cedera di muka sebelum penduduk membawanya ke Hospital Baling (HB),” katanya.

Mohd Faizol berkata, babi hutan itu dipercayai tersesat dalam kumpulannya dan melintas ke kawasan kebun.

“Kawasan itu gelap dan dikelilingi hutan punca babi hutan sering melintas di jalan berkenaan.

“Mujurlah anggota berkenaan hanya luka dan lebam serta tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 11:14 AM