ANGGOTA bomba melakukan operasi mencari Muhamad Hafizi di kawasan dia dilaporkan hilang. FOTO ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI berusia 29 tahun dipercayai hilang dalam hutan di Kampung Charok Gorok, Asam Jawa, Baling, sejak petang kelmarin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Penyelamat dan Kebombaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 9.23 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling tiba di lokasi jam 9.40 pagi.

“Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Jusoh Abd Wahab bersama enam anggota dengan dua jentera.

“Keluarga mangsa memaklumkan, mangsa, Muhamad Hafizi Ahmad hilang di hutan ketika mencari kayu api jam 6.30 petang kelmarin dan tidak pulang ke rumah sehingga hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi mengesan sedang dilakukan di kawasan mangsa dilaporkan hilang dengan dibantu anggota polis serta penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 12:04 PM