KEHILANGAN Mohammad Ashraf sudah memasuki hari ke-26 selepas dilaporkan hilang ketika menyertai Gopeng Ultra Trail pada 23 Mac lalu. FOTO Ihsan Pembaca
KEHILANGAN Mohammad Ashraf sudah memasuki hari ke-26 selepas dilaporkan hilang ketika menyertai Gopeng Ultra Trail pada 23 Mac lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Hafizee Mohd Arop


“MEMANG kami sekeluarga sudah jangka itu bukan tulang Acap (Mohammad Ashraf Hassan, 29) dan saya sendiri pun masa penemuan itu ada keluarkan kenyataan yang yakin itu bukan tulang dia,” kata Mohd Zahiruddin, 35.

Mohd Zahiruddin adalah abang kepada Mohammad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap yang hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail 2019 di Gopeng pada 23 Mac lalu.

Menurut Mohd Zahiruddin, pihak keluarga sudah dimaklumkan oleh polis mengenai keputusan ujian asid deoksirinobukleik (DNA) yang dijalankan dan keputusan ujian terhadap tulang itu mendapati ia bukan milik Acap.

Katanya, mereka sekeluarga masih belum berputus asa dan akan berusaha untuk mencari Acap, namun pencarian yang dijalankan di lokasi terakhir Acap dilaporkan hilang dilakukan dalam kumpulan kecil pada waktu-waktu tertentu.

“Pencarian masih dijalankan dan kami tidak pernah berhenti untuk berusaha serta berikhtiar,” katanya ketika dihubungi.

Pada 14 Jun lalu, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dalam kenyataan berkata, polis mengesahkan serpihan tulang yang ditemui di Gua Kandu Gopeng pada 20 April lalu bukan milik Acap.

Pengesahan itu hasil laporan DNA yang diterima dari Jabatan Kimia Malaysia yang mendapati serpihan tulang itu tidak sepadan dengan DNA ibu dan abang Acap.

Acap dilaporkan hilang pada 24 Mac apabila pihak penganjur dan rakannya yang membuat pencarian gagal menemuinya selepas acara tamat pada jam 2 petang, 23 Mac lalu.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan pelbagai pihak termasuk bomba, polis, sukarelawan, rakan dan keluarga dihentikan pada 17 April lalu selepas hampir sebulan kehilangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 2:26 PM