BERNAMA

JABATAN Agama Islam Melaka (JAIM) meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian merosakkan batu nisan dan membakar kubur di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin, Bachang, Melaka, malam tadi agar segera tampil salur maklumat.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, saksi kejadian atau mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi pihak JAIM atau balai polis berdekatan.

“Kita perlukan maklumat daripada orang ramai bagi membolehkan siasatan dijalankan dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 62, Enakman 6 Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Melaka 1991) kerana mempersendakan agama Islam,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bernama sebelum ini melaporkan polis membuka satu kertas siasatan berhubung kejadian yang membabitkan 20 batu nisan dirosakkan dan dua kubur lagi mempunyai kesan plastik dibakar malam tadi.

Menurut polis sehingga kini, belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Berita berkaitan

Kerja siapa rosakkan kubur? [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 3:02 PM