AZMI (dua dari kiri) memeriksa premis yang pernah diserbu awal bulan lalu di Bandar Jaya Puchong, Serdang. FOTO IHSAN PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


WALAUPUN baru diserbu pihak berkuasa awal bulan lalu, sebuah pusat hiburan tanpa lesen menawarkan khidmat wanita pelayan pelanggan (GRO) di Bandar Puchong Jaya, Serdang, masih tidak serik dan kembali menjalankan kegiatan sama.

Bagaimanapun, tindakan itu berjaya dihidu polis sebelum premis itu diserbu Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam Op Noda jam 12.30 tengah malam tadi.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan 20 wanita warga asing membabitkan warga Vietnam, Thailand, Indonesia dan China berusia lingkungan 20-an dipercayai GRO di premis berkenaan.

“Kami turut menahan dua penjaga premis warga tempatan berusia 40-an serta dua lelaki warga Bangladesh berusia 20-an yang bekerja di pusat karaoke itu.

“Premis ini pernah diserbu polis pada 1 Jun lalu yang membawa kepada penahanan 20 GRO warga asing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, siasatan dilakukan mendapati premis itu beroperasi tanpa lesen sejak empat bulan lalu.

“Pusat karaoke ini menawarkan khidmat GRO kepada pelanggan dengan harga RM150 untuk seorang GRO yang dipilih menemani mereka bagi tempoh tiga jam.

“Malah, premis ini juga didapati beroperasi dalam tempoh masa panjang iaitu bermula jam 5 petang hingga 4 pagi setiap hari,” katanya.

Katanya, polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk mikrofon, alat pembesar suara dan wang tunai berjumlah RM318.

“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6 (1)(c) akta sama serta Seksyen 6 (1) Enakman Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHTTH) 1995,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 11:05 AM