Lim dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan membunuh teman wanitanya. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


PEMBUAT gigi palsu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, atas pertuduhan membunuh teman wanitanya awal bulan ini.

Tertuduh Lim Siong Kim, 35, mengangguk faham pertuduhan dihadapinya selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di depan Majistret Noor Aisyah Ahmad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Lim didakwa membunuh Teo Kang Ling, 35, di No 17-01, Jalan Setia 3/5, Taman Setia Indah, Johor Bahru, kira-kira 8 pagi, 3 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Adilah Nur Yahya, manakala tertuduh diwakili peguam, G Ravi.

Mahkamah menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan penemuan kotak berisi mayat seorang wanita di tepi jalan di kawasan perindustrian Taman Setia Indah sekali gus merungkai kehilangan wanita terbabit.

Wanita itu dikatakan dibunuh di tempat lain, sebelum dimasukkan ke dalam kotak.

Bagaimanapun, apabila ia mula berbau kuat, suspek dikatakan meminta bantuan rakan untuk membuang kotak berisi mayat kekasihnya itu di tepi jalan berkenaan.

Berita berkaitan:

Bunuh, sumbat mayat kekasih dalam kotak

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 5:14 PM