Muhammad Apendy Issahak


“DIA suami yang baik,” kata Juwariyah Sulaiman, 32, isteri kepada Pensyarah Tahfiz Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), Mokhamad Ngifni Abdul Basir, 33, yang maut digilis lori dalam kemalangan di Kilometer 28 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi, Allahyarham Mokhamad Ngifni yang juga Imam Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum mangsa tercampak di jalan dan digilis lori dari arah bertentangan.

Juwariyah berkata, suaminya keluar rumah awal pagi tadi selepas solat Subuh untuk berkonvoi motosikal bersama abangnya serta seorang lagi rakan ke Cameron Highlands.

“Ini kali pertama tahun ini suami berkonvoi motosikal ke Cameron Highlands kerana sebelum ini dia hanya menaiki kereta ke kawasan peranginan tanah tinggi itu.

“Saya dimaklumkan mengenai kejadian oleh isteri abang ipar yang memberitahu suami terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke Ipoh,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan di Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berkata, hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat anak, Niswatul Iffah, 6, Niswatul Jannah, 4, Muhamad Al Fateh, 3, dan Niswatul Aafiah enam bulan.

Rakan mangsa yang turut sama berkonvoi Mohd Khidir Daud, 26, berkata mereka bertiga berkonvoi dengan menunggang motosikal masing-masing.

“Kami turun dari Cameron Highlands kira-kira 10 pagi dengan arwah menunggang di depan sekali manakala saya di tengah dan abang arwah, Hamlawi, 36, di belakang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian yang menurun bukit dan berselekoh, mangsa dipercayai cuba memperlahankan motosikal dengan membrek namun hilang kawalan sebelum tercampak ke laluan bertentangan lalu digilis lori,” katanya.

Katanya, dia turut terjatuh ketika mengelak motosikal mangsa dan cedera pada tangan kiri.

“Mangsa dipercayai digilis pada bahagian separuh badan terutama bahagian kaki dan masih bernyawa selepas kejadian namun menghembuskan nafas terakhir tidak lama kemudian,” katanya.

Sementara itu, Imam Utama Masjid Sultan Azlan Shah Syed Muzzaffar Syed Azlan berkata, arwah dan abangnya yang juga bilal dijadualkan bertugas untuk menjadi imam bagi solat Zuhur hingga Isyak hari ini.

“Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Sultan Azlan Shah selepas solat Isyak malam ini, kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 6:26 PM
JUWARIYAH (kanan) isteri kepada Mokhamad Ngifni (gambar kecil) tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
JUWARIYAH (kanan) isteri kepada Mokhamad Ngifni (gambar kecil) tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof