LAPORAN portal berita Harian Metro mengenai kemalangan menimpa Ustaz Mokhamad Ngifni, hari ini.
Muhammad Apendy Issahak


PENSYARAH Tahfiz Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), Ustaz Mokhamad Ngifni Abdul Basir, 33, tidak digilis lori, tetapi maut akibat parah selepas merempuh tayar belakang kenderaan berat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata pihaknya menerima maklumat awam mengenai kejadian pada 12.42 tengah hari di Kilometer 18 Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai, Ipoh.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan tiga motosikal dari arah Cameron Highlands ke Ipoh dan sebuah lori dari arah bertentangan.

“Sampai di lokasi kemalangan, motosikal Yamaha 135LC ditunggang mangsa yang juga Imam Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh yang berada di hadapan sekali dipercayai hilang kawalan semasa mengambil selekoh dan menuruni bukit lalu jatuh.

“Akibat kejadian itu, mangsa terpelanting ke kanan dan melanggar bahagian luar tayar belakang sebelah kanan lori dari arah bertentangan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dua lagi motosikal di belakang mangsa sempat mengelak daripada melanggar mangsa dan akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian.

“Saksi kejadian iaitu penunggang motosikal di belakang mangsa menyatakan mangsa hilang kawalan semasa mengambil selekoh dan menuruni bukit manakala lori berkenaan tidak masuk lorong bertentangan.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan bedah siasat sudah dijalankan pada 4.30 petang tadi di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya.

Berita berkaitan

'Perginya suami yang baik...[METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 7:39 PM