FOTO Hiasan
Nurul Amanina Suhaini


UJIAN Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA) bagi kertas peperiksaan Bahasa Jepun (kod 6401) dan Bahasa Jerman (kod 6405) yang dijadualkan hari ini, akan berlangsung mengikut jadual di semua pusat peperiksaan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun, bagi menangani insiden pencemaran bau mengakibatkan gangguan kesihatan di Pasir Gudang, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) mengambil tindakan pro aktif memindahkan pusat peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusa Damai ke Sekolah Tun Fatimah (STF) Johor Bahru.

Katanya, hanya dua calon terbabit dalam peperiksaan itu dan akan menduduki UPBA di STF.

“Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kertas peperiksaan Prinsip Perakaunan (kod 3756/4) dan Perniagaan (kod 3766/4) untuk calon persendirian yang dijadualkan pada 24 Jun tidak membabitkan calon di pusat peperiksaan daerah Pasir Gudang.

“Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) dijadualkan pada 25 hingga 27 Jun akan dijalankan mengikut jadual.

“Pusat peperiksaan disenaraikan dalam arahan penutupan sementara sekolah di Pasir Gudang iaitu SMK Pasir Gudang 2 membabitkan 64 calon sudah dimaklumkan JPNJ mengenai perubahan pusat peperiksaan ke SMK Dato’ Penggawa Timur,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, JPNJ sudah meletak notis perubahan pusat peperiksaan di SMK Pasir Gudang 2 sebagai makluman tambahan kepada calon atau waris calon.

“Petugas Peperiksaan JPNJ akan berada di SMK Pasir Gudang 2 pada hari pertama peperiksaan bermula iaitu 25 Jun ini bagi memaklumkan sekiranya ada calon yang hadir ke pusat peperiksaan berkenaan.

“Hebahan berkaitan perpindahan pusat peperiksaan juga sudah dibuat menerusi portal rasmi JPNJ,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 12:24 AM