DR Wan Azizah (kiri) diiringi Kamal Affandi (tengah) dan Lee pada Majlis Sambutan Hari Raya anjuran MCPF, semalam. FOTO Bernama
Iskandar Shah Mohamed


STATISTIK menunjukkan ancaman jenayah siber terutama membabitkan kes penipuan e-kewangan di negara ini mencatatkan peningkatan mendadak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, seiring perkembangan pesat alam siber, masyarakat terdedah dengan jenayah jenis baharu yang tidak pernah didengari sebelum ini.

“Saya dimaklumkan bahawa jenayah siber membabitkan kerugian berjumlah RM153 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini iaitu 38 peratus daripada nilai keseluruhan kerugian RM398.6 juta pada tahun lalu.

“Ia turut membabitkan kerugian daripada penipuan e-kewangan berjumlah RM40.7 juta dalam tempoh sama sekali gus melebihi kerugian keseluruhan RM40.5 juta tahun lalu.

“Bayangkan kerugian selama lima bulan itu sudah melebihi selama 12 bulan dan ia satu perkembangan yang amat menggerunkan,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Aidilfitri Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini, semalam.

Hadir sama Naib Pengerusi Kanan MCPF Tan Sri Lee Lam Thye dan Naib Pengerusinya Kamal Affandi Hashim.

Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi MCPF berkata, semua pihak termasuk yayasan itu dan rakan strategik perlu sentiasa peka dengan perkembangan semasa jenayah sedia ada mahupun jenayah dalam bentuk baharu.

Beliau berkata, pihaknya serius mahu meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan jenayah bagi mengelak masalah berkaitan proses dan bukti seperti kes 1Malaysia Development Berhad.

“Peranan MCPF dalam meningkatkan kesedaran orang awam mengenai pencegahan jenayah dan langkah berkesan menanganinya dilihat semakin mencabar.

“Yayasan mempunyai pengalaman selama 26 tahun sejak ditubuhkan pada 1993, namun jenayah masa kini mempunyai corak dan cara baharu saban tahun.

“Justeru, saya percaya sudah tiba masanya MCPF bekerjasama dengan pihak berkaitan termasuk Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti dalam usaha meningkatkan pencegahan jenayah terutama penipuan e-kewangan,” katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan isu cukai perniagaan atas talian, beliau berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan selepas Perdana Menteri pulang dari Bangkok, Thailand.

“Saya rasa kita akan membincangkan perkara itu apabila Tun pulang kerana ia adalah idea baharu yang akan diputuskan beliau kelak,” katanya.

Mengulas isu kebanjiran penempatan pelarian Rohingya di Bukit Malut, Langkawi, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan akan mencari jalan penyelesaian bagi menangani perkara berkenaan.

“Malaysia antara lokasi kepada pelarian etnik itu mencari tempat perlindungan dan kerajaan juga sudah menyuarakan mengenai masalah itu kepada Myanmar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 5:00 AM