SEBAHAGIAN daripada 2,091 bakal jemaah haji menyertai latihan pada program Kursus Perdana Haji di Taman Tamadun Islam (TTI). FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


SUAMI isteri dari Kampung Bukit Payong, Marang bersyukur penantian 12 tahun mereka untuk menunaikan haji di Makkah bakal dilaksana tahun ini.

Bahkan lebih menggembirakan apabila ibadat itu disertai dua anak lelaki mereka.

Bekas pesara guru, Hasmani Hamzah, 58, berkata, meskipun belum mengetahui tarikh penerbangan, dia dan suaminya, Shamsuddin Rahsid, 58, tetap gembira dan teruja untuk ke Tanah Suci.

“Kami tidak sangka dapat panggilan haji tahun ini dan lebih gembira lagi apabila dua anak lelaki berusia 20 dan 28 tahun akan bersama-sama mengiringi kami ke sana.

“Alhamdulillah, doa kami supaya rayuan dua anak dapat bersama menunaikan haji dalam kategori pengiring ditunaikan Allah memandangkan saya dan suami agak uzur,” katanya pada Kursus Perdana Haji di TH Hotel di sini, kelmarin.


KRU Berhijab pastikan jemaah haji terima servis terbaik ketika dalam penerbangan. FOTO Luqman Hakim Zubir

Hasmani dan suami serta dua anaknya antara 2,019 bakal jemaah haji dari negeri ini yang terpilih untuk menunaikan haji.

Dalam pada itu, Pengarah Tabung Haji negeri, Datuk Mohyen Mosman berkata, sebanyak sembilan penerbangan disediakan untuk membawa bakal jemaah dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Penerbangan pertama bermula pada 17 Julai depan. Surat pemakluman tarikh jadual penerbangan dan tiket penerbangan dimaklumkan kepada mereka secara berperingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 6:01 AM