BEBERAPA pelajar yang kelihatan lemah dan mempunyai simptom pening kepala dan loya tekak susulan pencemaran bau di kawasan Pasir Gudang dibawa keluar oleh ambulans dari perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Husni Mohd Noor


UJIAN Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA) bagi kertas peperiksaan Bahasa Jepun (kod 6401) dan Bahasa Jerman (kod 6405) yang dijadualkan pada hari ini akan berjalan mengikut jadual di semua pusat peperiksaan.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, bagi menangani insiden pencemaran bau yang mengakibatkan gangguan kesihatan di Pasir Gudang, Johor, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPN Johor) sudah mengambil tindakan pro-aktif dengan memindahkan pusat peperiksaan yang terbabit di SMK Nusa Damai ke Sekolah Tun Fatimah (STF).

“Hanya dua orang calon terbabit digerakkan untuk menduduki UPBA di STF. Bagi peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kertas peperiksaan Prinsip Perakaunan (kod 3756/4) dan Perniagaan (kod 3766/4) untuk calon persendirian yang dijadualkan hari ini juga tidak membabitkan calon di pusat peperiksaan daerah Pasir Gudang.

“Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Jun 2019 juga akan dijalankan mengikut jadual,” katanya.

Katanya, pusat peperiksaan yang disenaraikan dalam arahan penutupan sementara sekolah di Pasir Gudang iaitu JK702 SMK Pasir Gudang 2 yang membabitkan 64 calon sudah dimaklumkan oleh JPN Johor tentang perubahan pusat peperiksaan di SMK Dato’ Penggawa Timur.

Kementerian juga memaklumkan, JPN Johor sudah meletakkan notis perubahan pusat peperiksaan di SMK Pasir Gudang 2 sebagai makluman tambahan kepada calon atau waris calon.

Menurutnya, petugas Peperiksaan JPN Johor juga akan berada di pusat SMK Pasir Gudang 2 pada hari pertama peperiksaan bermula iaitu pada 25 Jun 2019 bagi memaklumkan sekiranya ada calon yang hadir ke pusat peperiksaan tersebut.

“Hebahan berkaitan perpindahan pusat peperiksaan juga telah dibuat melalui portal rasmi JPN Johor,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 11:00 AM