MAYAT kru kapal MT Fortune Star yang dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia. FOTO Ihsan APMM.
Oleh Mohd Hilmie Hussin


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka & Negeri Sembilan, menjalankan operasi menyelamat khas, membawa seorang kru kapal yang dilapor tidak sedarkan diri di perairan Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Alor Gajah, semalam.

Pengarah APMM Melaka & Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, dalam kejadian 10.30 malam itu, pihaknya menerima panggilan daripada petugas pelabuhan Kuala Linggi, memaklumkan seorang kru MT Fortune Star tidak sedarkan diri di atas kapal terbabit.

“Susulan maklumat diterima kami menggerakkan aset ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat dan memberi bantuan.

“Mangsa Mohammad Musa, 41, warganegara Bangladesh didapati tidak sedarkan diri dan dibawa ke Jeti Pelabuhan Kuala Linggi.

“Namun kru terbabit disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayatnya diserahkan kepada polis serta dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat,” katanya hari ini.

Beliau berkata, kes kejadian kecemasan di laut perairan Melaka dan Negeri Sembilan itu adalah yang kedua dikendalikan pihaknya tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 3:50 PM