Gambar Hiasan
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti 681 kumpulan kongsi gelap bertapak di negara ini dengan jumlah ahli 9,042 orang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, bermula 1 Januari lalu sehingga kelmarin, polis sudah menahan 627 ahli kumpulan kongsi gelap itu menerusi Op Cantas Khas.

Katanya, daripada jumlah itu 19 ahli kumpulan berkenaan ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1957 (POCA).

“Sejak 2012, 536 individu terbabit kongsi gelap ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

“Dalam tempoh sama juga, 456 individu dituduh mengikut SOSMA kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa.

Huzir berkata, PDRM akan terus memberi penekanan untuk membasmi kegiatan kongsi gelap di negara ini termasuk menggunakan SOSMA, POCA, Kanun Keseksaan, Akta Senjata 1960 dan lain-lain akta.


Huzir pada sidang media di Bukit Aman. FOTO Azhar Ramli

Katanya, status SOSMA kini di peringkat akhir kajian oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM dan sehingga kini ia masih boleh digunakan bagi membanteras jenayah terancang membabitkan kesalahan serius mengikut Bab VIB Kanun Keseksaan.

“Kumpulan kongsi gelap ini dikenal pasti sebagai kumpulan jenayah terancang yang melakukan pelbagai kesalahan jenayah termasuklah sindiket perjudian dan pelacuran.

“Jadi, selepas ini polis tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan mengikut akta berkenaan kepada kumpulan yang kita kenal pasti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 4:33 PM