Mohd Rakbi (tengah) menunjukkan sebahagian 15,000 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM240,000 yang dirampas di jeti Pulau Beluru dan tebing Pulau Tongkang. Foto Syamsi Suhaimi
Siti Rohana Idris


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 15,000 karton rokok seludup bernilai RM240,000 dalam serbuan berasingan di hadapan jeti Pulau Beluru dan tebing Pulau Tongkang di Tumpat pada Jumaat lalu.

Pengarah JKDM Kelantan Mohd Rakbi Mat Saud berkata, dalam operasi pertama pada jam 5 pagi oleh anggota Pasukan Operasi Marin JKDM Kelantan mengesan dua bot pancung di Kuala Besar, Kota Bharu dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota kami bertindak mengejar kedua-dua bot berkenan selama 10 minit sebelum berjaya menahan sebuah daripadanya di hadapan jeti Pulau Beluru.

“Bagaimanapun, dua individu yang berada di atas bot dapat melarikan diri ke atas tebing bersebelahan jeti terbabit.

“Hasil pemeriksaan di dalam bot itu kemudiannya menemui sebanyak 8,000 karton rokok seludup yang dipercayai dibawa dari luar negara masuk ke negeri ini untuk pasaran tempatan.

“Kesemua rokok itu dianggarkan bernilai RM128,000 dengan jumlah cukai sebanyak RM850,560 dirampas, kami turut merampas bot pancung fiber bernilai RM50,000,” katanya ketika sidang media di pejabat JKDM Pengkalan Kubor, hari ini.

Selain itu, Mohd Rakbi berkata, pihaknya menemui sebuah peti ditutup dengan kanvas di tebing Pulau Tongkang kira-kira jam 8 pagi hari yang sama.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui sebanyak 7,000 karton rokok bernilai RM112,000 dengan cukai RM744,240.

“Kita percaya rokok itu disembunyikan oleh pemilik sebuah lagi bot pancung yang berjaya meloloskan diri dalam operasi sebelum itu.

“Kita percaya dua rampasan ini saling berkaitan yang dilakukan oleh warga tempatan,” katanya.

Mohd Rakbi berkata, rampasan berkenaan adalah yang terbesar direkodkan oleh JKDM Kelantan pada tahun ini.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(d) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 5:06 PM