NURUL Atiqah menunjukkan gambar Saif Kabeer Arrazi, sekali gus meminta wanita warga Indonesia, Niya Lestari, tampil bagi urusan pengambilan anak angkat. FOTO/ Jamah Nasri
Mohd Hilmie Hussin


WANITA warga Indonesia diminta tampil bagi membantu jururawat melengkapkan urusan pengambilan anak angkat.

Wanita terbabit Niya Lestari, 31, ibu kepada bayi Saif Kabeer Arrazi, lima bulan, sebelum ini menyerahkan bayinya itu kepada Nurul Atiqah Ab Razak, 31, kerana tidak mampu menjaga bayinya akibat masalah kewangan.

Nurul Atiqah berkata, bayi itu diserahkan suami Niya, Dodik Fendriyanto, 36, kerana isterinya enggan menjaga bayi berkenaan, kira-kira jam 4 petang pada 27 Januari lalu di hospital bersalin di Muar, Johor.

“Saya tidak pernah bertemu ibu kandung bayi ini namun dia diperlukan bagi urusan mendapatkan anak angkat.

“Saya harap Niya dapat menghubungi saya kerana ibu kandung bayi ini perlu hadir ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi melengkapkan urusan penyerahan anak angkat,” katanya yang datang ke pejabat NSTP Melaka.

Nurul Atiwah berkata, dia sudah mencari Niya namun difahamkan wanita terbabit sudah pulang ke Indonesia.

Menurutnya, bayi itu dilahirkan di hospital bersalin di Muar pada 22 Januari lalu.

Bagi melengkapkan urusan pengambilan anak angkat, Nurul Atiqah sudah membuat laporan polis di Balai Polis Muar, Johor pada 31 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 5:24 PM
Skip this ad x