Pegawai KPDNHEP Kamal Reza Kamal Pasha (kiri) melihat proses membungkus semula baja bersubsidi selepas melakukan serbuan di sebuah gudang di Guar Chempedak, Yan, hari ini. Foto Amran Hamid
Zuliaty Zulkiffli


SEBUAH gudang haram yang dipercayai menjadi tempat membungkus semula baja kimia bersubsidi dikesan berselindung di sebalik kilang plastik bagi menyembunyikan aktiviti mereka.

Baja itu dipercayai dikhaskan untuk golongan petani tetapi disalah gunakan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan dan kegiatan terbabit dikatakan aktif sejak dua tahun lalu.

Kegiatan itu terbongkar dalam operasi bersepadu membabitkan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di Guar Chempedak, Yan hari ini.

Dalam operasi 11 pagi itu, KPDNHEP merampas 96,000 kilogram (kg) baja bernilai RM100,000 yang ditemui di kawasan gudang berkenaan.

Selain itu, seorang lelaki yang juga dipercayai pemilik gudang berkenaan berusia 36 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Sebuah treler yang dianggarkan bernilai RM150,000 turut dirampas untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, bekalan baja itu dipercayai dibeli daripada orang ‘tengah’ yang sepatutnya untuk kegunaan petani tetapi disalahgunakan individu tertentu demi mengaut keuntungan lumayan.

Menurut sumber, sekampit guni baja berisi 25 kilogram (kg) itu dibeli dengan harga antara RM10 hingga RM15 tetapi dibungkus semula menjadi berat 50 kg sekampit.

Mereka kemudian menjualnya dengan harga antara RM100 atau lebih daripada itu, malah mampu memperoleh keuntungan sehingga RM80 sekampit.

“Sebelum ini, pihak berkuasa pernah menyerbu kilang berhampiran yang disewa individu yang sama dan dipercayai kerap berpindah randah untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Rampasan sebelum ini pernah mencecah jumlah keseluruhan RM3 juta akibat penyelewengan baja seperti ini,” katanya.

Sumber berkata, kilang haram yang tidak mempunyai papan tanda itu dikatakan beroperasi setiap kali bekalan diperolehi dan proses membungkus semula dilakukan pada waktu petang atau malam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan 3(1) Akta kawalan bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran pengawal bekalan atau Seksyen 20 Akta kawalan 1961 kerana mengalih barangan dan Seksyen 21 dengan niat melakukan kesalahan.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman mengesahkan ada menerima laporan mengenai rampasan dalam serbuan itu.

Sementara itu, empat lelaki warga Pakistan berusia antara 30-an hingga 40-an yang merupakan pekerja di gudang itu juga ditahan JIM kerana disyaki melanggar permit kerja mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 5:51 PM
Skip this ad x