Dadah dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


POLIS memberkas empat pengedar dadah dalam serbuan di sebuah hospital swasta di Seremban dan rumah di Sentul, Kuala Lumpur kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan, Superintendan Pang Jin Lai berkata, susulan aduan awam diterima pihaknya melancarkan operasi pada 5 petang.

Katanya, dua lelaki masing-masing berusia 29 tahun dicekup dalam operasi di hospital swasta berkenaan dan pemeriksaan dijalankan menemui 117 gram syabu bernilai RM13,000.

“Dalam serbuan itu, seorang suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan. Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif Methamphethamine dan memiliki rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Pang berkata, susulan tangkapan itu pihaknya menyerbu rumah suspek di Sentul, pada 11 malam dan menahan dua lagi pengedar dadah berusia 26 dan 29 tahun tahun.

“Hasil pemeriksaan kami merampas 134 gram syabu bernilai RM21,000. Rampasan keseluruhan membabitkan 251 gram syabu bernilai RM34,000,” katanya.

Menurutnya, wang tunai berjumlah RM940 turut dirampas daripada suspek dan mereka kini ditahan reman di lokap Ibu Pejabat Polis daerah Seremban dan Sentul bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 6:24 PM