Murid SJKT Ladang Prye (dari kiri) Harchana, Tharsini, Harrish dan Siti Zumaidah menunjukkan sijil penghargaan selepas meraih pingat emas dalam ISIF 2019 yang berlangsung di Bali. Foto Fazlie Shahrizal
BERNAMA

KULIT limau mandarin dan tempurung kelapa yang diolah semula menjadi penapis air, pemutih gigi dan uncang penghilang bau membolehkan empat murid Sekolah Jenijs Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Prye, Prai meraih pingat emas dalam Pameran Reka Cipta dan Sains Antarabangsa (ISIF) 2019.

ISIF 2019 yang berlangsung di Bali, Indonesia dari 21 hingga 26 Jun lepas.

Keempat-empat murid tahun enam itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pagi tadi dan disambut oleh guru serta ahli keluarga mereka yang turut menghadiahkan mereka dengan jambangan dan kalungan bunga.

Seorang daripada murid itu, Harrish Raj Shanker berkata, cipta mereka itu diilhamkan daripada tempurung kelapa dan sejumlah besar kulit limau mandarin yang dibuang ketika sambutan Tahun Baru Cina.

Harrish berkata, inspirasi bagi projek itu berkisar mengenai langkah untuk mengurangkan bahan buangan alam sekitar dan memberi tumpuan kepada amalan 3R iaitu mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula.

“Kami mengambil masa sebulan untuk menghasilkan semua projek ini dan kami mendapat bantuan daripada guru, malah pekerja pembersihan sekolah turut membantu,” katanya.

Harrish turut merakamkan penghargaan kepada rakan sepasukannya, Harchana Changaiah, Siti Zumaidah Abdul Rahman dan Theva Tharsini Seekan yang memberi sumbangan kepada projek itu.

Sementara itu, guru sains mereka, N Pugeneswari berkata, pelajar berkenaan turut mengemukakan projek sekolah mereka bagi edisi ketiga Ekspo Teknologi dan Reka Cipta SIRIM (Si2TE) yang berlangsung pada April lalu di Kedah.

Pugeneswari berkata, mereka hanya menghasilkan pemutih gigi dan uncang penghilang bau bagi Si2TE dan kedua-dua projek itu turut membolehkan mereka membawa pulang pingat emas.

“Hanya apabila menyertai ISIF, barulah murid ini mencipta sistem penapis air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 6:50 PM