Skip this ad x
DR Sahruddin (tengah) bersama Dr Dzulkefly (kiri) dan Isnaraissah Munirah pada ketika sidang media mengenai pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Izlaily Nurul Ain Hussein dan Nurul Amanina Suhaini


SEBATIAN kimia dikesan pada mangsa terjejas dalam insiden pencemaran bau dan udara di Pasir Gudang sejak Khamis lalu adalah pada tahap tidak bertoksik tinggi dan tidak kekal dalam tubuh badan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebatian kimia itu hanya mampu bertahan dalam tubuh badan selama kira-kira lima jam sebelum dikumuhkan.

Beliau berkata, ada beberapa jenis bahan kimia disyaki punca kepada masalah gangguan kesihatan ini, tetapi masih di saat akhir untuk kenal pasti bahan kimia yang menjadi punca kejadian itu.

“Yang penting daripada sudut klinikal, keracunan toksik serta perubatan itu di tahap tidak bertoksik tinggi.

“Paras sebatian kimia kita temui hanya 134 partikel perjuta (ppm) dan bersifat hanya separa hayat pendek dalam tubuh badan selain lima jam akan dikumuhkan, sebab itu kita tidak temui dalam sampel darah dan air kencing pesakit.

“Kesan muntah dan sesak nafas memang ada pada sifat sebatian kimia itu, tetapi bukan pada tahap berlaku seperti di Sungai Kim Kim yang sehingga ada masuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sebagainya.

“Di sini, kita perhatikan, mereka hanya muntah dan sesak nafas,” katanya dalam sidang media di Pusat Gerakan Operasi Pemantauan di Stadium Perbandaran Pasir Gudang di Pasir Gudang, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata, pihaknya akan mengumumkan sebatian kimia menjadi punca kepada insiden itu sebaik ia diperoleh.

“Punca insiden ini sudah pada tahap akhir untuk kita pastikan. Sebaik kita dapat tahu, kita akan umumkan. Ujian darah semua pesakit yang kita peroleh iaitu 15 ujian semuanya negatif dan tiada sianida serta dua bahan kimia iaitu acrylonitrile and acrolein yang ditemui pada insiden Sungai Kim Kim juga tidak ditemui kali ini,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 8:15 PM