NIK Ros Azhan.
Shamsul Munir Safini


BUKIT MERTAJAM: Tertekan dengan keluarga isterinya yang sering meminta wang belanja untuk majlis resepsi, seorang lelaki membuat laporan polis palsu kononnya disamun di Prai, Jumaat lalu.

Akibat kejadian itu, juruteknik berusia 45 tahun itu mendakwa kerugian wang tunai RM10,000 dan hilang dokumen pengenalan diri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, lelaki itu membuat laporan palsu di Balai Polis Perai, jam 6.30 petang, Jumaat minggu lalu.

Katanya, suspek membuat laporan polis kononnya dia disamun dua lelaki di hadapan sebuah kilang di Taman Nagasari.

“Di dalam laporannya, suspek mendakwa kononnya beg silang mengandungi wang tunai RM10,000 dan dokumen peribadinya ditarik seseorang yang sebelum mereka memotong tali beg itu menggunakan pisau.

“Suspek mendakwa kononnya akibat kejadian itu, dia mengalami luka di lengan kiri,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, lelaki itu berkahwin 15 Jun lalu manakala majlis resepsi diadakan 25 Ogos ini.

Menurutnya, hasil siasatan, polis mendapati laporan dibuatnya mencurigakan kerana tiada kejadian samun seperti didakwa suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hadapan kilang itu.

Katanya, suspek pernah membuat laporan polis sama pada 2010 dengan menyatakan disamun dua lelaki menaiki motosikal dan jalan cerita yang sama.

Nik Ros Azhan berkata, suspek mengaku membuat laporan palsu kerana kesempitan wang dan mahu menangguhkan majlis resepsinya.

“Keluarga pihak perempuan meminta wang daripadanya untuk persiapan majlis terbabit menyebabkannya dia membuat laporan polis palsu mengatakan wang untuk majlis itu disamun.

“Suspek berkahwin pada 15 Jun lalu dan majlis resepsi akan diadakan 25 Ogos ini di Kebun Sireh,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 5:30 AM