KAPAL induk Tentera Laut China, Liaoning yang didakwa memasuki perairan Laut China Selatan.
KAPAL induk Tentera Laut China, Liaoning yang didakwa memasuki perairan Laut China Selatan.
Noor Hidayah Tanzizi


LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengakui belum mempunyai bukti yang menunjukkan kehadiran kapal induk Tentera Laut China, Liaoning di Laut China Selatan, setakat ini.

Panglima TLDM, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany berkata, bagaimanapun pihaknya akan memantau dan melakukan pemerhatian di sepanjang perairan negara bagi menjaga kedaulatan negara.

Menurutnya, beliau juga sudah mengarahkan Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob untuk memberi perhatian sepenuhnya dan meningkatkan kawalan di perairan Laut China Selatan terutama membabitkan kapal negara asing.

“Saya ada baca laporan berkenaan, tetapi sebenarnya tidak ada bukti yang menunjukkan perkara berkenaan berlaku.

“Sekiranya ia berlaku dalam perairan kita, kapal kita (TLDM) memang berada di situ (dan) jika mereka jumpa mesti dilaporkan kepada saya,” katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Panglima Armada Barat di Pangkalan TLDM Lumut di sini, semalam.

Mohd Reza mengulas laporan media antarabangsa mendakwa kapal perang China akan belayar di Laut China Selatan di antara perairan Sabah dan Filipina serta gambar satelit yang tular menunjukkan kapal Liaoning berada berhampiran Laut China Selatan, baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas dakwaan netizen yang mendakwa TLDM tidak melakukan rondaan di perairan negara susulan kes bot nelayan tempatan yang ditahan sebuah kapal Pengawas Perikanan Indonesia di tenggara Pulau Jarak, Lumut, Jumaat lalu, beliau berkata, ulasan berkenaan tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, kapal TLDM berada di perairan Selat Melaka 24 jam dalam tugas operasi dan pada hari kejadian aset pertahanan laut itu berada kira-kira 40 batu nautika dari tempat kejadian.

“Kita terus ke situ membantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), namun ini tugas APMM dan kita tidak terbabit secara terus dalam rundingan berkenaan.

“Bagaimanapun, kita menunjukkan kehadiran di situ sekiranya pihak APMM memerlukan apa-apa bantuan.

“Kami juga banyak membantu pihak berkuasa APMM (sebelum ini) sebagai contoh beberapa minggu lalu kami membantu untuk mengatasi masalah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara di Laut China Selatan dan menahan 11 bot nelayan negara itu,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah dilantik sebagai Panglima Armada Barat yang baharu menggantikan Laksamana Madya Datuk Rusli Ramli yang bersara wajib berkuat kuasa semalam.

Rusli yang berkhidmat selamat 41 tahun dalam TLDM akan menjalani tempoh peralihan sebelum bersara pada 24 Disember ini.

Turut dilantik, Laksamana Pertama Khalid Jaafar menggantikan Aris Adi Tan sebagai Panglima Pendidikan dan Latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 6:30 AM