ORANG ramai yang mendapatkan rawatan susulan berikutan pencemaran udara. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Hairulazim Mahmud


KENAL pasti dan tindakan keras mesti diambil kepada dalang insiden pencemaran bau dan udara di Pasir Gudang yang mengakibatkan puluhan pelajar sekolah menjadi mangsa sejak Khamis lalu.

Itu arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berikutan insiden yang mengakibatkan semua institusi pendidikan terjejas, diarahkan tutup sehingga Khamis ini.

Beliau menegaskan, insiden itu tidak sepatutnya berlaku kerana pelbagai tindakan sudah diambil semasa tragedi sama beberapa bulan lalu.

“Tak sepatutnya berulang selepas apa yang berlaku sebelum ini, nampaknya ada industri yang tak peduli soal keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-33 di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mendakwa sisa toksid Sungai Kim Kim tidak dibersihkan sepenuhnya mengakibatkan insiden batu beracun.

Beliau bagaimanapun membetulkan kenyataannya selepas itu bahawa tiada lagi sisa toksid berbahaya yang tinggal selepas dibersihkan sepenuhnya dan dibawa ke pusat pelupusan Kualiti Alam untuk dihapuskan.

Pada 20 Jun lalu, 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Kejadian itu menyusul hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

Berkaitan itu Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, pencemaran kali ini berbeza dengan insiden pencemaran Sungai Kim Kim, sebelum ini.

Katanya, insiden kali ini langsung tiada kaitan dengan insiden berlaku Mac lalu, malah sisa bahan kimia diperoleh daripada insiden Sungai Kim Kim sudah dilupuskan sepenuhnya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 11:21 AM