MIKRO alga yang diternak di makmal UMK Jeli. FOTO/ Ihsan UMK Jeli
Nor Amalina Alias


MIKRO alga yang memiliki khasiat 600 kali ganda berbanding vitamin C bukan saja memberi manfaat untuk kesihatan malah membantu ekonomi penduduk setempat.

Melihat potensi besar itu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama syarikat teknologi industri alga, OEW Algae Technologies Sdn Bhd, memperuntukkan kawasan seluas 70 hektar di Jeli bagi menternak hidupan rumpai ini.

Naib Canselornya Prof Dr Noor Azizi Ismail berkata, sebagai permulaan pihaknya menjangkakan seramai 30 hingga 50 penduduk sekitar Jeli mendapat manfaat melalui aktiviti ternakan dan pengkomersilan spesis itu.

Katanya, UMK akan memberi tunjuk ajar cara penternakan dan menjalankan kajian penyelidikan bagi memaksimumkan manfaat mikro alga manakala syarikat OEW Algae terbabit dengan pemasaran produk.

“Kita buka aktiviti ekonomi baru di Kelantan melalui ternakan mikro alga yang boleh menghasilkan pelbagai produk.

“Sebagai permulaan, ia dicuba dalam produk kosmetik antaranya, pencuci wajah untuk wanita dan lelaki, pemutih wajah dan nilai tambah dalam produk campuran herba.

“Kita jangka ternakan dimulakan awal tahun depan. Penternakan ini juga mudah kerana hanya perlu menyediakan akuarium daripada kanvas atau kolam di belakang rumah untuk memulakan aktiviti ternakan dan tidak memerlukan modal yang besar,” katanya ketika ditemui pada sidang media di UMK Kampus Bachok, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif OEW Algae, Datuk Dr Nazily Mohd Noor.


PROF Dr Noor Azizi (tiga dari kiri) bersama Nazily Mohd (empat dari kanan) beramah mesra bersama pensyarah dan penyelidik projek penternakan mikro alga. FOTO/ Nor Amalina Alias

Noor Azizi berkata, projek itu membabitkan pensyarah dan penuntut Fakulti Bio Kejuruteraan dan Teknologi (FBKT) di Jeli dengan menempatkan satu inkubator yang akan memantau perkembangan projek dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Nazily berkata, pihaknya memperuntukkan kos pelaburan sebanyak RM2 juta hingga RM3 juta untuk kajian dan penyelidikan bersama UMK bagi tempoh dua tahun bermula tahun ini hingga 2020.

“Kita akan menambah kos pelaburan RM20 juta hingga RM30 juta bagi tahun seterusnya mulai 2020 hingga 2023 sekiranya projek ini berjaya.

“Kerjasama dengan UMK bagi menternak alga ini bukan saja dapat menjimatkan kos mengimport spesis rumpai dari Jepun.

“Malah ia memberi ruang kepada penyelidikan untuk penambahbaikan produk di masa akan datang melalui pakar penyelidik dari UMK,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 11:57 AM