Aizat Sharif


KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Jabatan Kontrak dan Perolehan sebuah syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam direman empat hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah.

Penahanan reman itu berhubung penerimaan rasuah dalam pemberian kontrak kerja dan pengubahsuaian rumah kedai sejak 2015.

Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Rashidah Azmi membenarkan permohonan SPRM bagi CEO itu iaitu lelaki berusia 50 tahun dan wanita 34 tahun sehingga 28 Jun, bermula hari ini.

Sumber SPRM berkata, suspek ditahan di Pejabat SPRM pada sekitar jam 6.37 dan 6.43 petang semalam.

“Siasatan menjurus kepada penerimaan rasuah dalam pemberian kontrak kerja dan pengubahsuaian rumah kedai sejak empat tahun lalu.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 16 (a) SPRM 2009,” katanya.

Sumber SPRM mendedahkan bahawa sejak dua hari lalu, beberapa pihak khususnya kontraktor sudah menghantar bantahan kerana tidak puas hati berhubung pengagihan kontrak kepada beberapa pihak disyaki mempunyai kaitan dengan salah seorang suspek terbabit.

Malah, dikatakan wujud penyelewengan dalam proses pembahagian tender menyebabkan syarikat yang tidak memenuhi kriteria termasuk dari aspek jumlah pekerja yang mencukupi dan serta kenderaan lori berjaya dipilih.

Didapati, anggaran projek bagi pengurusan sisa pepejal di Kedah dan Perlis ini berjumlah RM360 juta setahun.

Selain itu, suspek utama dan beberapa pihak yang terbabit dalam hal ini sudah menubuhkan satu tabung kelab yang kononnya untuk menjaga kebajikan syarikat yang terbabit.

Oleh hal demikian, semua kontraktor yang berjaya dalam pemilihan tender harus diwajibkan untuk menyumbangkan satu atau dua peratus daripada nilai projek ke dalam tabung ini.

Risikan selama lebih enam bulan mendapati tabung ini sudah diseleweng untuk membeli harta, kenderaan dan lawatan peribadi ke luar negara.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek, namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 12:20 PM
SUSPEK dibawa ke mahkamah. FOTO
SUSPEK dibawa ke mahkamah. FOTO